Khamis, 4 Ogos 2011

Bukan cerita tentang siapa siapa

Setiap kata yang aku atur menjadi bicara, bukan bermaksud aku bercerita tentang siapa. Mungkin juga ada tentang diriku, mungkin itu hanya sekadar kisah yang aku perhatikan dan aku olah semula ia, supaya menjadi rangkap yang terlihat di sini. Mungkin juga, hampir setiap rangkap itu adalah diriku. Dan satu kepastian, seluruh rangkap, baris, kata dan abjad ini adalah lahir dari aku. Jiwa dan hati aku. Aku langsung tidak hiraukan jika ruangan ini hanya sekadar ruangan kusam yang aku sendiri tulis dan tatap. Mengapa perlu aku wujudkan ruangan ini sedangkan aku punya satu lagi ruangan untuk aku luahkan segala bebelan tentang diri dan cerita aku? Biarlah. Aku ingin jadikan ruangan ini sebagai ruang untuk aku mengatur seberapa banyak kata yang aku mahu. Satu ruang dari jiwa aku yang menceritakan tentang segalanya, yang bukan untuk aku khabarkan secara nyata.

Walau bagaimana cara hidupku, dan arah jalan yang aku langkah, aku masih tidak mampu untuk diam tanpa berbicara sendiri. Aku masih perlukan ruangan ini untuk aku jadikan sebagai refleksi diri aku sendiri. Sudah amat sebati dengan diri aku, aku perlukan sesuatu ruang untuk aku muntahkan segala perkataan yang aku benamkan dalam diri aku sendiri. Jika diingat kembali, ketika zaman masih jahil dengan teknologi, kanak kanak masih leka bermain bersama sahabat dan teman, remaja asyik dengan kehidupan suka suka mereka, ketika itu ruangan aku hanya sekadar buku nota dan pensel. Belum cukup yakin untuk aku gunakan dakwat barangkali.

Mengimbau kembali suasana sembilan tahun dahulu, aku sama juga seperti rakan sebaya ku yang lain. Di alam permulaan dunia remaja, aku mula mencari jalan cerita. Dan aku karang baris baris kata sehingga ia memenuhi helaian kertas yang ada. Bermula hanya dengan beberapa helaian, tanpa aku sedari lama lama ia menjadi kepada satu buku 100 muka surat, dan pernah juga aku ceritakan hingga 200 helaian muka surat. Segalanya melalui proses normal. Jari memegang pena berdakwat biru atau hitam, dan bukti itu masih ada sehingga kini. Bukan bukti pada buku, tetapi pada jari aku sendiri.

Dan ketika itu, sudah tentulah hanya teman2 sekelas, dan teman sekolah yang membaca. Aku karang, kerana aku sendiri mahu cerita itu dikarang. Bukan untuk aku war war kan kepada sesiapa. Tapi mereka yang ketika itu membaca, sudah cukup untuk membuatkan aku berasa puas dan gembira.

Tersenyum aku sekarang. Bila kisah sembilan tahun itu terpapar dalam bayangan aku. Yang pasti, itu cerita bertahun tahun dulu. Cerita yang telah lama pergi dari kehidupan aku. Sekarang? Mungkin aku tidak mampu lagi untuk mencari jalan cerita yang baru. hanya jalan cerita diri aku sendiri yang aku dapat olahkan. Bukan lagi satu jalan cerita angan angan, tetapi realiti yang aku sendiri lalui. Mungkin juga aku sudah malas, dan hanya mampu berbicara dalam metafora yang aku bariskan menjadi rangkap rangkap puisi. Puisi? layak kah semua itu untuk aku katakan sebagai puisi? Tinggi benar angan angan. Cukuplah sekadar ruangan ini aku paparkan baris baris perkataan yang dihasilkan dari susunan abjad. Dan yang pasti, abjad dari jari ini sebenarnya adalah abjad dari hati. Yang berbunyi seperti satu monolog, tetapi terlihat dalam satu ruangan.

Biarpun ruangan ini lihatnya kusam dan sunyi, bosan dengan bahasa yang aku guna, tapi aku amat perlukanya. Perlukanya dalam hidup aku. Kerana ruangan ini juga adalah refleksi diri aku. Aku menulis di sini bukan tentang siapa siapa atau kerana apa apa. Tapi kerana hidup aku, dan diri aku sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan