Khamis, 8 Disember 2011

Transit kata

Selamat kembali ke sini;

Seperti lama aku tinggalkan,
Tak singgah duduk untuk menjenguk,
Terbiar diam dan terus begitu,

Mungkin padatan masa menyekat aku untuk singgah,
Lalu lalang sana sini, langsung lupa halaman sendiri,
Kasihan,
Biarpun tidak ada mata menjengah,
Aku tetap kasihan kan tempat ini.

Ada muncul suara,
Konon nya aku berpuisi kerana orang berpuisi juga,
Kau siapa?
dan aku siapa?

Biar.
Selagi aku dengan hidup aku,
Biar ini jadi transit kata jiwa

Aku bersuara bila masa mahukan,
Aku tinggal bila rasa terkekang,
Aliterasi kadang muncul kadang diam,
Sampai suatu masa, ia akan hilang.

Selasa, 18 Oktober 2011

Tolong, Selamatkan aku

Dari awal mata bertentang mata,
Turun ke hati jadi perasaan cinta,
Konon berjanji sehidup semati jiwa dan raga semua kau boleh miliki,
Serahkan segala,
Diri sendiri empunya jadi serahan cinta,
Hanyut tenggelam terbuai indah bila kau dan dia saling berbunga-bunga
Ayat puitis jadi manifestasi
Konotasi bertimbun berhujan koleksi puisi
Kau perlu dia, dia pun kata begitu
Tapi hakikat semua bunga-bunga jiwa di dalangi nafsu
Umur belum matang tapi cinta jadi agungan
Cinta kamu, sayang kamu semua jadi taruhan
Si dia dan dia bila sudah bersatu hati, bersatu segalanya bertemu di tempat yang dijanji
"Dunia milik kita, kamu jangan risau"
Itu hanya satu wacana yang dicipta untuk menjadi proksi
Tapi yang nyata si dia dan dia buta segalanya.

Tolong, Selamatkan aku

Andai bisa kita dengar suara itu, mungkin dunia tak akan cipta kezaliman
Tiada tubuh kecil yang terlihat kaku bergelimpangan
Bunga-bunga cinta dulu kini bertukar jadi perang
Perang sana sini tapi bukan perang dengan lawan
Dulu wujud satu ikatan hati tapi kini semua bertukar jadi benci
Si dia begini, sudah mula kembang
Si dia benci, dari puitis bertukar jadi berang
Masing-masing menggigil mula hilang arah tuju
Hanya nampak batu besar di setiap penjuru
Tiada alibi yang mampu dicari hanya nampak cara pecahkan batu dengan gigi
Oligasi yang ada kini sudah hilang
Semuanya buta terus hilang perasaan.

"Tolong, Selamatkan aku"


Ada yang tikam tanpa dia melihat,
Ada yang campak, buang sana sini dalam hati mereka penuh cacat
Aturan sendiri yang membekukan segala kasih sayang di hati
Tubuh kecil jadi mangsa manusia jiwa hitam penuh benci
Berani buat tapi masing-masing takut mahu tanggung
Dalam erti tuntas kau biarkan hati kau terlopong
Terus terpesong, jiwa kosong masih sesat dalam dunia penuh jalan
Tiada lagi cinta bila nyawa kecil wujud tanpa ada kerelaan
Yang tinggal hanya cara untuk kau melenyapkan.

"Tolong, Selamatkan aku"

Cuba dengar suara ini, cuba hayati dalam hati bawa terus ke sanubari
Bayangkan tubuh kecil ini berlari-lari di bawah pelangi
Hilai tawa mereka berhak untuk kedengaran
Tapi hakikatnya kau yang tidak membenarkan
Cuba sekali lagi kau pejam mata,
Terkedek-kedek mereka penuh dengan ketawa,
"Aku ingin gembira, aku ingin bahagia"
Biar kita tidak dengar tapi itu yang mereka kata.



"Tolong, Selamatkan aku"

Isnin, 10 Oktober 2011

Pengisian tentang tadi

Syukur, masih normal.
Masih seperti hari hari yang lain
Masih seperti mereka yang lain.

Punya waktu untuk di isi,
Punya nafas untuk dihembus,
Udara masih ada,
Jantung masih berdegup.


Panca indera lima deria masih setia bersama diri,
Otak tetap mampu berfikir,
dan hati masih terus mampu merasa,
Tiada kata lain, hanya syukur.
Kerana satu kesempurnaan ini.

Biarpun jalan cerita berbeza,
Tak sama antara si dia dan dia
Biar persepsi tak selari
Ruang dunia tetap perlu di kongsi.

Betapa cukup penciptaan ini,
Cantik semuanya.
Alhamdulillah.

Selasa, 13 September 2011

Celik dan sedar

Jangan kerana kita celik itu tanda kita sedar;
Ada yang celik tapi masih dalam lena;
Tidur dengan mata terbuka;
Masih tak jumpa, masih tak nampak apa;
Sekadar mata yang mencelik,
Belum tentu diri sedar.


Sedar akan hakikat.
Sedar akan nikmat.
Sedar akan diri;
Dan sedar dari halusinasi.

Semua orang dengar,
Semua orang nampak;
Semua seperti remeh; tapi hakikat?
Tak semudah seperti yang kita kata.

Selasa, 6 September 2011

Tak kan mampu

Aku cuba;
Untuk diamkan semua rasa dan permintaan hati
Aku simpan;
Tapi aku suarakan tanpa ada bunyi
Kerana aku tak mampu;
Untuk aku terus kelu.

Aku ingin;
Jadi sesuatu yang belum pernah kau ada
Tapi aku tahu;
Aku tak kan mampu

Aku biarkan;
Untuk rasa seperti ini pergi,
Walau aku tahu aku tak kan mampu biarkan

Kerana aku tetap sebagai gadis yang biasa;
Hati aku ingin sesuatu
Yang tak kan mampu untuk aku terus bisu.

Isnin, 5 September 2011

Jangan Berhenti

Dalam diam, aku renung;
Setiap satu persatu, buat aku senyum
Dari mula aku sedar ia ada,
Hingga kini, aku masih ada,
Terus mampu buat aku untuk senyum,
Untuk bahagia.

Biarpun, banyak tangisan aku hujankan,
Aku masih mahu ia ada.

Tolong jangan berhenti,
Cinta tolong jangan berhenti.

Teruskan bersama aku.
Temani aku sampai aku pejam selamanya.

Cinta tolong jangan berhenti.
Jangan pergi.

Khamis, 18 Ogos 2011

Seperti ada sesuatu

Yang bersarang dalam kelopak jiwa;
Yang membenarkan butir-butir air titis dari mata;
Sampai aku diam bisu dalam pening.

Yang memaksa untuk terfikir,
Yang terus duduk dalam kotak hati pemikir
Sampai aku longlai dalam runsing.

Segumpal perasaan hanya minta satu,
Pergi segala sesuatu itu.
Biarkan objek hidup ini terus senyum melihat semuanya.



Sabtu, 13 Ogos 2011

Hanya Sekadar diam

Sesuatu yang aku rindu
Sesuatu yang sukar untuk ceritakan,
Aku Rindu,
Tapi aku hanya diam,
Seperti tiada apa,
Aku hanya sekadar tunggu.

Entah.
Diri hanya mampu diam.
Segumpal hati meminta,
Tapi kadang masih sama.
Mana hatimu wahai diri?
Kuatkan imanmu, wahai diri.

Kadang, dunia seperti membawa aku,
Dan sekali lagi diri hanya mampu diam.
Sungguh aku lemah.
Sungguh aku gagal.
Kerana diri hanya sekadar diam.



Khamis, 11 Ogos 2011

Ayat Pendek

Hanya sekadar singgahan.
Menerjah ruang sendiri;
Untuk dilempar segala ekspresi sunyi
Tak perlu disusun berjuta abjad,
Asal hati tahu segala sesuatu;
Yang amat aku perlu.
Ia hanya Dari-Mu,
Ya Tuhan.

Selasa, 9 Ogos 2011

Perasaan Rindu

Aku rindu,
Sesuatu yang aku belum rasa sepenuhnya,
Tuhan, berikan aku rasa kasih itu,
Hentikan agitasi dalam diri ini Ya Tuhan,
Aku rindu cahayaMu,
Tapi aku tidak mampu mengatur langkah ke situ,

Kerana aku tersandung, lumpuh di sini
Terhenti tanpa oligasi

Tolong,
Temukan aku dengan kerinduan itu.

Ahad, 7 Ogos 2011

Mampu

Adakah akan ada kemampuan itu?
Untuk terus dan terus bernyawa dan menghadapi segala yang nanti tiba?
Jangan bicara tentang kemampuan,
Kerana ia tetap akan berlaku biarpun tidak mampu.
Tak usah murung merenung perkara yang belum tiba,
Terima segalanya,
Pedulikan kata mampu atau tidak.
Kerana ia pasti akan hadir juga.


Usah persoalkan tentang kemampuan,
bila bicara tentang masa depan.
Kerana itu;
Sesuatu yang belum diketahui,
Namun pasti satu hari akan tahu juga.

Khamis, 4 Ogos 2011

Bukan cerita tentang siapa siapa

Setiap kata yang aku atur menjadi bicara, bukan bermaksud aku bercerita tentang siapa. Mungkin juga ada tentang diriku, mungkin itu hanya sekadar kisah yang aku perhatikan dan aku olah semula ia, supaya menjadi rangkap yang terlihat di sini. Mungkin juga, hampir setiap rangkap itu adalah diriku. Dan satu kepastian, seluruh rangkap, baris, kata dan abjad ini adalah lahir dari aku. Jiwa dan hati aku. Aku langsung tidak hiraukan jika ruangan ini hanya sekadar ruangan kusam yang aku sendiri tulis dan tatap. Mengapa perlu aku wujudkan ruangan ini sedangkan aku punya satu lagi ruangan untuk aku luahkan segala bebelan tentang diri dan cerita aku? Biarlah. Aku ingin jadikan ruangan ini sebagai ruang untuk aku mengatur seberapa banyak kata yang aku mahu. Satu ruang dari jiwa aku yang menceritakan tentang segalanya, yang bukan untuk aku khabarkan secara nyata.

Walau bagaimana cara hidupku, dan arah jalan yang aku langkah, aku masih tidak mampu untuk diam tanpa berbicara sendiri. Aku masih perlukan ruangan ini untuk aku jadikan sebagai refleksi diri aku sendiri. Sudah amat sebati dengan diri aku, aku perlukan sesuatu ruang untuk aku muntahkan segala perkataan yang aku benamkan dalam diri aku sendiri. Jika diingat kembali, ketika zaman masih jahil dengan teknologi, kanak kanak masih leka bermain bersama sahabat dan teman, remaja asyik dengan kehidupan suka suka mereka, ketika itu ruangan aku hanya sekadar buku nota dan pensel. Belum cukup yakin untuk aku gunakan dakwat barangkali.

Mengimbau kembali suasana sembilan tahun dahulu, aku sama juga seperti rakan sebaya ku yang lain. Di alam permulaan dunia remaja, aku mula mencari jalan cerita. Dan aku karang baris baris kata sehingga ia memenuhi helaian kertas yang ada. Bermula hanya dengan beberapa helaian, tanpa aku sedari lama lama ia menjadi kepada satu buku 100 muka surat, dan pernah juga aku ceritakan hingga 200 helaian muka surat. Segalanya melalui proses normal. Jari memegang pena berdakwat biru atau hitam, dan bukti itu masih ada sehingga kini. Bukan bukti pada buku, tetapi pada jari aku sendiri.

Dan ketika itu, sudah tentulah hanya teman2 sekelas, dan teman sekolah yang membaca. Aku karang, kerana aku sendiri mahu cerita itu dikarang. Bukan untuk aku war war kan kepada sesiapa. Tapi mereka yang ketika itu membaca, sudah cukup untuk membuatkan aku berasa puas dan gembira.

Tersenyum aku sekarang. Bila kisah sembilan tahun itu terpapar dalam bayangan aku. Yang pasti, itu cerita bertahun tahun dulu. Cerita yang telah lama pergi dari kehidupan aku. Sekarang? Mungkin aku tidak mampu lagi untuk mencari jalan cerita yang baru. hanya jalan cerita diri aku sendiri yang aku dapat olahkan. Bukan lagi satu jalan cerita angan angan, tetapi realiti yang aku sendiri lalui. Mungkin juga aku sudah malas, dan hanya mampu berbicara dalam metafora yang aku bariskan menjadi rangkap rangkap puisi. Puisi? layak kah semua itu untuk aku katakan sebagai puisi? Tinggi benar angan angan. Cukuplah sekadar ruangan ini aku paparkan baris baris perkataan yang dihasilkan dari susunan abjad. Dan yang pasti, abjad dari jari ini sebenarnya adalah abjad dari hati. Yang berbunyi seperti satu monolog, tetapi terlihat dalam satu ruangan.

Biarpun ruangan ini lihatnya kusam dan sunyi, bosan dengan bahasa yang aku guna, tapi aku amat perlukanya. Perlukanya dalam hidup aku. Kerana ruangan ini juga adalah refleksi diri aku. Aku menulis di sini bukan tentang siapa siapa atau kerana apa apa. Tapi kerana hidup aku, dan diri aku sendiri.

Rabu, 27 Julai 2011

Memecah Usang

Lama benar aku tinggalkan kertas kaca ini.
Semakin usang. Sunyi tanpa ada lawatan.
Siapa yang mahu singgah?
Kertas kaca yang usang, penuh dengan abjad dan kata.
Mungkin mereka bosan.
Ah!
Biarlah.
Kerana aku sayang kertas kaca ini.
Aku ada ketika ini,
Kembali menyusun abjad untuk mata aku sendiri tatap.
Asalkan aku masih mampu,
Asalkan hati aku masih mahu berbunyi,
Tidak akan ku biarkan kertas kaca ini usang.
Kerana ini jiwa,
Dimensi aku dari corong berbeza.

Isnin, 27 Jun 2011

Biasa sahaja

Aku
Bukan siapa siapa
Hanya punya hati yang biasa
Untuk kamu
Namun bagiku itu bukan perasaan biasa.

Sayang ku bukan biasa
Namun diriku tiada apa
Ingin ku beri kamu seribu bahagia
Maafkan aku.
Kadang ku tak berjaya.

Aku selalu berfikir
Dan makin banyak di fikiran
Apakah ini satu abadi
Atau mungkin hanya halusinasi

Tapi biarkan.
Aku ingin terus punya hati yang biasa ini
Aku tetap seorang yang biasa
Yang ingin beri kamu satu bahagia
Yang terindah dan luar biasa.

Selasa, 21 Jun 2011

Aku ingin

Aku ingin jadi yang terindah
Yang teristimewa;
Yang amat kamu cinta;
Yang amat kamu perlu;
Yang pernah ada dalam hidup kamu

Aku ingin jadi yang membahagiakan kamu
Yang sentiasa memberi kamu cinta
Yang sentiasa ada; Selagi kamu mahu ia ada
Walau sampai bila bila

Aku ingin jadi sesuatu;
Yang sukar untuk kau sakitkan
Yang sukar untuk kau tinggalkan
Selamanya akan kau jaga
Sentiasa kau benarkan hati aku ada.

Aku hanya ingin jadi sesuatu yang paling indah;
Yang paling istimewa;
Yang paling bahagia;
Yang pernah kamu ada.
Sentiasa, sampai bila-bila.

Jumaat, 3 Jun 2011

mengamuk meracau

Ini satu amukan
Tapi dalam senyap.
Dalam diam.
Menjerit tapi senyap.
Mengamuk tapi diam.
Meracau tapi masih ketawa.
ini;
Sifat mutlak aku.
Sifat konkrit aku.
Senyap;
Diam;
Fikir;
Sampai hilang sendiri.

Mana mungkin semuanya seperti yang kau mahu.
Hanya sebesar zarah;
Kau jadikan macam gajah.
Konkritkan kaca yang ada dalam diri dan hati.

Kenapa kau diam?
Mengamuk melalui kata-kata?
Jerit lah kau.
Mengamuk lah kau.

Kerana aku tahu, tak siapa yang faham. Lebih baik dari aku mengamuk di dunia nyata.

Isnin, 30 Mei 2011

Buang rasa itu

Tak perlu untuk kau takut.
tak perlu untuk kau terima rasa itu.
Itu rasa mainan jiwa.
mainan hati yang hanya hadir untuk melemahkan kau.
Hanya untuk goyangkan kehidupan kau.
Tak perlu kau rasa takut dengan hidup sendiri.
Buangkan saja rasa itu.
Buangkan jauh-jauh.
jangan sekali kau kutip rasa takut itu kembali.

Fikirkan.
Mengapa kau punya rasa sebegitu?
Kenapa rasa itu harus hadir?
Fikirkan.

Mungkin kau tersasar jauh.
Mungkin kau alpa tentang hidup.
Tentang siapa Pencipta hidup dan Pemberi nyawa.
Mungkin kerana itu,
Rasa itu hadir dalam jiwa.

Aku mahu buang rasa ini.
tapi aku sendiri bingung,
Kenapa ianya ada.
Ia; Rasa takut.
Seolah hilang rasa tenang.
Kadang gundah dan suram berteman.

Jumaat, 27 Mei 2011

Bayang itu

Bayang itu melintasi benak fikiran
Meracau dalam setiap pelusuk celahan jiwa aku
Pergi kau jauh jauh!
Jangan buru aku.
Aku hanya mahu lihat jalan yang cerah
Aku hanya mahu sampai di situ.
Kenapa perlu kau ada?
Tak perlu kau gelapkan jalan aku,
Tak perlu kau menghantui membayangi aku.
Hentikan segala bayangan hitam.
Jangan sekali kau ganggu hati aku.
Jangan sekali kau patahkan jiwa aku.
Aku hanya mahu jalan cerah itu.
Aku hanya mahu sampai di situ.
Tolong hentikan bayangan dalam perasaan,
Hentikan.

Rabu, 18 Mei 2011

Berbeza?

Kadang; Hati pelik.
Kita tak sama.
Dua hati yang berbeza jalanya.
Kamu begitu;
Aku begini.
Kadang kamu ke situ;
Kadang aku di sini.

Biarkan; Ada beza itu.
Kerana itu, Aku dan kamu;
Ada pada saat ini.
Kerana aku tahu,
Ada sesuatu yang pasti.
Aku perlu kamu.
Kamu perlu aku.

Biarkan ada perbezaan.
Mungkin itu yang membawa kita pada hari ini.
Untuk memahami;
Untuk menerima.
Untuk segalanya.

Rabu, 11 Mei 2011

Si Jelik

Biarpun omongan aku sudah muak di benak kalian
Tapi aku tetap masih mahu berbicara
Rimas!
Terlalu rimas dengan tatapan mata yang meliar mencari si perawan
Segalanya indah bila melihat keindahan yang semua bisa nampak
Kaku mata disitu.
Terpaku kononya dia bidadari

Tapi pernahkah kau fikir bagaimana si jelik?
Tidak kah kau pernah tahu apa rasanya itu?
Kamu!
Yang bongkak mencari jelita
Bila tiba nanti
Akan hilang juga semua di mata

Sedih.
Jujur; suara dari hati.

Jika semua untuk si jelita
Apa yang tinggal untuk jelik?

Jelik juga mahu cinta mahu bahagia
Mahu rasa istimewa
Mahu rasa jelita
Hanya di mata dunia hatinya.

Tangisan manusia

Kita menangis bila gembira
Tangisan air mata terharu
Tangisan penuh syukur
Menangis kerana terlalu gembira.

Tapi lelah bila menangis kerana emosi
Benda yang tiada sebab
Tangisan tetap ada
Kenapa perlu ada?
Kenapa tidak perlu diam?
Kenapa?

Buangkan segala fikiran jahat dibenakmu
Buangkan!
Kenapa kau perlu takut pada kecewa
Sedangkan kau tak meminta bahagia dariNya?
Dan sekarang kau menangis?

Apa yang kau mahu dalam bahagia?
Bahagia cinta?
Cinta bukan satu metafora yang kau dapat tulis
Cinta lebih dari satu personifikasi

Diam!
Tangisan bukan satu objek yang kau dapat tafsirkan.
Tangisan manusia itu abstrak.
Biarkan manusia itu menangis.

Sabtu, 7 Mei 2011

Istimewa

Istimewa.
Perkataan itu bukan untuk aku.
Aku hanya manusia kosong
Yang tiada langsung ada ruang untuk perkataan itu.
Buruk dan jelik.
Sungguh tiada kata istimewa
Sungguh jauh dari sempurna.

Akan adakah yang masih ingat aku
Jika suatu hari nanti aku pergi?
Akan muncul kah aku dalam benak fikiran mereka?

Sungguh aku bukan istimewa.
Tapi jauh dalam perasaan
Aku ingin;

Walau hakikat nyata.
Perkataan itu tiada wujud untuk aku.

Khamis, 28 April 2011

Cerita tentang Cahaya

Ini bukan kata perhiasan yang ingin aku pertontonkan kepada kalian. 
Cerita yang ingin aku sampaikan bukan sekadar tampalan di dinding hitam seperti mana yang kalian fikirkan.  
Biarpun ia sekadar coretan pendek yang diatur dengan kata,
Namun cerita ini akan tetap aku sampaikan.

Bermula dengan ruang gelap yang legam pada pandangan mata, 
Dengan hanya sebatang mancis kecil yang menyala pada lilin, 
ruang gelap itu terang. 
Biarpun cahaya lilin ini bukan satu sofistikasi, 
sudah cukup untuk membawa aliran mata untuk membantu setiap langkah yang ada. 
Biarpun hanya sekadar berbadankan sebatang lilin,
cahaya ingin menerangi ruang itu.

Terlihat ke suatu penjuru ruang, 
ada pintu yang masih berkunci. 
Walaupun ada cahaya dalam ruang gelap itu, 
namun masih belum terlihat kunci. 
Cahaya ingin melihat keadaan di sebalik pintu,
 namun pintu masih berkunci. 

“Biarlah, mungkin suatu hari nanti pintu itu akan terbuka dengan sendiri”.   

Sabtu, 19 Mac 2011

Lihat langit itu

Ketika mendung seorang
Lihatlah langit itu
Cerah, Sungguh Indah
Senyumlah ketika melihat langit
Indah nian ciptaan Maha Esa.

Walaupun langit tak selalu cerah
Ia benar; Percayalah
Selepas hujan lebat
Berganti panas terik
Akan muncul langit indah;
Bersama tujuh warna.

Cantik bukan?
Teruskan senyum melihat langit
Sedang angin sejuk menyentuh pipi;
Kata syukur jangan lupa diucap
Alhamdulillah.
Cerah mata melihat langit
Seolah diri berada di sana.

Lihat langit itu;
Ketika suram muncul
Langit beri senyuman; Suram hilang.

Khamis, 17 Mac 2011

Tetap ada; Kamu

Biarpun pernah kita kata tidak
Hakikatnya
Tetap ada; Kamu.

Dari aku
Walau pernah aku berkata tidak
Namun hati
Tetap ada; Kamu.

Buangkan segala yang berlalu itu jauh-jauh
Campakkan
Bakarkan
Dan Hilangkan
Segala yang pernah menjadi punca tidak
Kerana diriku
Tetap ada; Kamu

Aku hanya perlu melangkah
Dengan percaya dalam jiwa
Walau sukar yang mungkin akan datang
Jangan sekali cuba berkata tidak
Kerana yang pasti
Hati ini
Tetap ada; Kamu.

Ahad, 6 Mac 2011

tolong kembali; Semangat itu

Ketika mereka sedang rancak segalanya
Mata kabur ini hanya memandang
Tak kuat rasanya suara untuk melaungkan
Dari jauh hanya mampu teruskan tatapan

Berkelip kelip kelopak mata
Terkumat kamit bibir bersuara secara diam
Takut nanti mereka dengar apa kata suara.
Walaupun suara itu bukan untuk mereka
Cukuplah hanya aku yang dengar.

Siapa kata aku tak mahu berjalan?
Aku hanya duduk
Bukan bererti aku lumpuh.
Duduk berpaksikan koordinasi pemboleh ubah
Bukan statik bertiangkan apa apa.
Itu bukti, aku sedang bergerak.

Dalam setiap perubahan gerak yang aku atur
Kaki kurasakan seolah ia kosong.
Berpijak kah ia
Atau terbang bersama angin yang membawa lalang?
Kadang rasa seperti ia tak kukuh.
Langkah terhuyung hayang
Menunggu waktu tersungkur.

Tolong kembali;Semangat itu.
Jangan biar jatuh mendominasi kukuh
Jangan lepaskan aku untuk terus dibawa angin
Jangan nanti hilang aku dalam pusaran air

Tolong kembali; Semangat itu.
Untuk beri aku sedikit nafas untuk berjalan
Untuk aku temui apa yang aku carikan.

Jumaat, 4 Mac 2011

Akan hilangkah ia?

Ketika hari hari biasa berlalu
Hati tak pernah biasa bila ia berlaku
Terduduk;
Seperti diri ini beku;
Memantau setiap penjuru
Berpura; Berlagak kononya bisu
Tatapan terus kaku.

Seminit tadi telah pergi
Semalam tiada bertemu kembali
Hanya menanti esok dengan lopongan
Masihkah ia ada?
Akan hilangkah ia?
Atau akan muncul ia?

Soalan kosong yang bermarkahkan sifar.
Usah tanya;
Bukan kita punya jawapanya.
Walaupun hakikatnya ternyata
Aku mahu ia ada.

Selasa, 1 Mac 2011

Bila nanti tiba masa

Bila nanti tiba masa;
Aku pergi,
Ingin aku pergi dalam kemaafanMu;
Izinkan aku pergi dalam ketenanganMu;
Tutup mata ku dalam air mata untukMu.
Sungguh aku ingin pergi dalam bahagiaMu.

Sakit dunia yang menduga
Hanya sebesar hama;
Bila nanti tiba waktu ketika,
Sakit berganti bahagia andai kita dekat padaNya.

Bila nanti tiba masa;
Aku pergi
Secebis pinta ingin ku mohon
Tinggalkan aku dalam ingatan mereka;
Semoga nama ku masih dalam mindanya;
Harapku
Agar doa dari mereka menjadi teman bahagia;
Ketika nanti aku di dunia sana.

Maafkan aku;
Jika mereka pernah aku luka;
Andai ada yang masih menahan rasa;
Aku manusia;
Kerana hidup
Tidak semudah ejaan nama;
Tidak seringan lidah menyebut abjadnya.

Bila nanti tiba masa;
Hilang aku dari yang sementara
Bangun aku untuk yang selamanya..

Sabtu, 26 Februari 2011

; takut

Takut kerana silam sendiri
Takut bila esok tak nampak
Takut dengan ragam manusia
Takut amarah manusia berkuasa

Hampir semua perkara kita takut
Tapi
Kenapa perlu ada takut
Bila waktu inginkan gembira?

Takut kan dendam
Takut kan kecewa
Takut bila suara marah mengugut
Takut bila jiwa jadi semput
Takut bila hari esok mula menjelma
Takut bila hari ini surut.

Kerana yang nyata
Segalanya takut.

Banyak yang ditakutkan.
Tiada siapa mampu mengawal bila takut menguasai jiwa
Sekadar hanya seorang manusia
Rasa itu akan ada.

Biarpun takut bermacam punca,
Takut yang perlu ada hanya takut pada Yang Esa.

-Kerana pada ketika ini; aku takut.
Segalanya.

Khamis, 24 Februari 2011

. aku mahu ia hilang

Bila sesuatu pernah ada dalam jiwa
Kini permintaan hati mahu ia tiada
Jangan tinggalkan kesan
Walau tiap satu apa yang ada
Walau tiap zarah yang pernah ada
Hilangkan ia dari orbit dunia aku
Bawa ia pergi
Biar jauh dari aku
Agar aku tak lagi rasa

Cukup segala yang pernah ditinggalkan
Semua masih ada dalam hati
Tiap detik masa itu
Pernah jadi muka surat dalam diri
Helaian yang mustahil untuk dikoyak
Hanya mampu biarkan ia hilang

Andai nanti ia hilang
Semoga ia hilang dalam bahagianya
Bila nanti ia sudah hilang
Semoga bahagiaku muncul suatu ketika.

Ahad, 20 Februari 2011

Bukan Metafora

Tolong selimutkan aku;
Dengan kain sakti jiwa kamu,
Jangan biar aku beku ketika ini,
Jangan sampai jiwa aku nanti beku.


Biar malam memanjangkan saat,
Selagi ada selimut dari jiwa itu
Aku masih akan teguh.


Ternyata,
Diri ini masih teguh,
Hati ini masih kukuh,
Jiwa ini tak pernah lumpuh,
Walau kain sakti itu sekadar hanya kamu tinggalkan.


Aku rindu,
Kain sakti jiwa kamu
Bukan sekadar metafora.


Sabtu, 29 Januari 2011

Warna

Cukup dengan Hitam Putih,
Biarkan warna lain jadi pelangi.

Merah, Biru, kuning,
Dari mereka bertiga,
Jadi warna warna lain.
Pelangi cukup tujuh warna,
Cantik.
Indah.
Cukup untuk mata melihat.
hati jangan lupa syukur.

Warna jangan kau hilang.
Hilang warna pudar hidup;
Suram hati.
Muram diri.

Bila suram hampir datang;
Warna tolonglah ada.
Untuk gembira, untuk bahagia.

Isnin, 24 Januari 2011

Lirik tanpa lagu

Biarpun masa terus berlalu
Aku di sini terus menjadi aku
Andai nanti sampai satu masa
Aku pergi
Sebagai diri sendiri

Biarkan masa berulang hari
Biarkan waktu bertukar bulan
Biarkan saat menjadi tahun
Aku tetap di sini dengan hati
Untuk kamu

Kata kata aku susun
Untuk menjadi lirik
Tanpa lagu
Tetap aku nyanyikan
Untuk kamu

Aku tetap di sini dengan hati
Untuk kamu
Dengarkanlah lirik ini
Yang masih belum menjadi lagu.