Sabtu, 12 Januari 2013

Suara yang ditinggalkan

Terpanggil aku untuk bersuara
Dan suara ini, aku tinggalkan
Di sini; di ruangan putih ini
Tersusun di balik cermin kaca yang kau lihat 
Tersembunyi dalam alam maya yang kau tatap

Ingin untuk aku, 
Panggil angin itu,
Untuk aku katakan sesuatu,
Agar nanti angin sebarkan,
Suara yang akan aku tinggalkan

"Angin, engkau tahu sesuatu?"
Angin diam, 
Tapi dinginnya ku rasa.

"Indah, Sungguh Indah kehidupan. Indah, ciptaan Tuhan"
"Tapi, tak ramai yang perasan."
Dan angin seolah mengangguk, mengiyakan.
Kerana damainya  masih terus bertiupan.

Biar angin tak mungkin berbicara,
Tapi damainya itu kita rasa

Tersiratnya sesuatu tidak semua disuratkan
Cukuplah, olahan kata ini hadir sebagai perantaraan,
Antara aku, kau, dia, dan semua,
Untuk lihat dunia ini,
Untuk mula kenal apa erti menghargai
Belajar apa itu mensyukuri
Belajar, untuk gunakan hati

Betapa tingginya nilai hati itu
Hati; ianya anugerah, tapi ramai tidak tahu
Dan impaknya bertaburan;
Masih ramai tidak ambil tahu.
Dunia sedih. Penghuninya seperti mendidih
Dan kesan itu terus menindih.
Kerana suara itu, masih terdengar merintih.

Dan aku tinggalkan suara aku ini
Agar suatu hari nanti,
Lenyap suara tangisan. Terpadam bunyi kesedihan.
Dengan izinNya, suatu hari nanti
Aku percaya. 
Kerana Dia, Maha Mendengar segala suara dari hati. 










Rabu, 21 November 2012

Kita, siapa?



Berdentum cerita tentang seksa;
Kita masih ketawa
Berjurai air mata derita;
Kita masih suka

Tidak cukup lagi;
Di sini makin ramai jadi api
Berganda-ganda timbunan maki
Kau kata dia
Dia kata si dia
Akhirnya semua mula berkata-kata

Di sebelah kiri;
"Eh, peduli apa?" 
"Aku cuma bersuara"
"Aku tak mengata, aku cuma kata ikut suka"
Konklusi; sebelah kiri pentingkan diri

Di sebelah kanan;
"Biarlah. Bukan hal sendiri"
"Maaf. Aku tak berani"
"Sudahlah. Aku tak peduli"
Konklusi lagi; sebelah kanan banyak alasan.

Nanti. 
Duduk sekejap diam-diam.
Katup mata. 
Tutup sampai pejam.
Apa yang kita nampak?
Hampa;
"Tiada apa-apa"

Tunggu dulu. 
Sekali lagi;
Duduk lagi diam-diam.
Katup mata;
Tapi ilustrasikan wajah sendiri 
Selitkan wajah ummi, wajah abi
Letakkan bersama juga wajah kekasih hati.
Apa yang kita nampak?
DERITA.
SENGSARA.
LUKA.
Segalanya. -Baru sekarang kita rasa?

Kita ini siapa?
Hanya penuh berhujah di hujung jari.
Tapi kosong bila selami perasaan sendiri.
Tanya lagi.
Siapa kita?
Ianya hakikat. 
Kita saudara
Tiada manusia yang boleh pecat.
Hanya nanti; berpisah nyawa dari jasad.



Rabu, 11 Julai 2012

Dahulu begitu; kini begini

Dahulu;
Yang cantik ku katakan jelik
Yang mudah ku katakan payah
Mata tegar memandang keatas
Dagu degil untuk tunduk kebawah.

Ya Tuhan

Kini;
Seperti ingin mencarik-carikkan halaman dahulu
Betapa bodoh; segala yang berada di halaman itu
Sungguh ku angkuh denganMu

Ya Rahim,
Sungguh, Kau Maha Mengasihi
Dan Kau berikanku kasih yang suci hakiki

Ya Wadud,
Sungguh, Kau Maha Pecinta
Dan Kau berikanku cinta

Ya Qadir
Sungguh, Kau Maha Berkuasa atas segalanya
Dan Kau berikanku peluang

Subhanallah Alhamdulillah
Sungguh; ketika ini kurasakan sangat indah.
Maha SuciMu, Segala puji bagiMu
Ya Allah, Tuhan sekalian alam

Allahuakbar
Kau Maha Besar
Tanpa hadiahMu Ya Rabb
Tak mungkin aku sampai disini
Ketika ini; saat ini
Dalam diri aku yang begini

Terima Kasih, Allah
Atas hadiah dariMu ini
Bantulah aku, Ya Allah
Untuk ku genggam hadiah ini sampai ku tiada lagi disini...

La hawla wala quwwata illa billah
Tiada daya dan kekuatan melainkan denganMu, Ya Allah.
Bantulah aku, Ya Rahman
Pelihara hatiku, Ya Muhaimin..

Amin.. Ya Rabbal Alamin..

Kembali singgah

Syukur,
Alhamdulillah.
Kini aku kembali singgah; di sini.
Setelah lama, tidak aku geledah.

Tiada perkhabaran baru,
Tetapi tidak jugak dalam khabaran yang lama.
Ruang ini aku tinggalkan,
Kerana ketika itu tiada apa yang mampu aku rasa.
Bukanlah ertinya, kondisi hati menjadi penghalang.
Tidak sama sekali.
Syukur,
Alhamdulillah,
Kondisi hati kurniaan ilahi;
Sentiasa berada dalam bahagia maknawi.

Hanya sekadar tiada kata untuk disusun menjadi bahasa,
Kerana itulah, ruang ini tidak aku teroka.

Dan ketika ini;
Aku kembali singgah.
Semoga Tuhan terus memberi aku kekuatan untuk berbicara.

InsyaAllah.

Ahad, 1 April 2012

Suara jiwa; ketika ini

Tuhanku,
Ya Allah Ya Rabbi,
Ya Rahman Ya Rahim.
Syukur; Alhamdulillah.

Dahulu; Aku pernah berkata,
Janganlah sesuatu itu terjadi.
Dahulu; Aku pernah meminta
Jangan KAU hilangkan nya

Tetapi hari ini;
Syukur Ya Allah.
Syukur; Sungguh ku tak terkira.
Benar.
Sungguh ku tak tergambarkan
Betapa hebat kuasaMu Ya Tuhan
Betapa indah jalanMu Ya Rahman.

Dan kini
Tiada lain yang ku inginkan
Tiada lain yang hati ini impikan
Hanya JalanMu
Hanya CintaMu
Hanya kasihMu
Hanya redhaMu

Teguhkan hatiku yang lemah
Kukuhkan jiwaku yang goyah
Hadirkan dalam hidupku bahagiaMu
Dan sayangMu,
Temukan jiwaku dengan jiwa yang mencintaiMu, Ya Rahman
Curahkan kasihku kepada cinta yang merinduiMu, Ya Rahim

Abadikan cintaku dalam syurgaMu, Ya Allah.

Hanya ini;
Sesuatu yang amat ku impikan,
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.

Ampuni khilaf dan dosaku, Ya Tawwab.

Selasa, 14 Februari 2012

Tinggalan

Pergi kau jauh jauh
Lari, teruskan lari
Pergi kau lari sampai jatuh.

Bila kau jatuh, baru kau pandang langit
Baru kau beliakkan mata
Tinggi sungguh langit
Baru kau rasa.

Hari ini kau suka, berbunga hati bahagia
Mungkin suka itu tak lama?
Mungkin juga selamanya?
Untuk apa aku ambil tahu?
Ah,
Pedulikan.

Kau bukan siapa siapa
Kau hanya tinggalan
Objek bernyawa yang pernah tinggal dalam hidup aku
Dan terus kau tinggalkan
Ya,
Itu lah kau.

Sudahlah,
Redha dengan ikhlas, :)
Selagi kau bahagia,
Tapi, Kau tahu bukan?
Tuhan Maha Berkuasa?

Rabu, 8 Februari 2012

Mana cerpen aku?

Maaf.
Keadaan, situasi, persekitaran, emosi, dan semuanya
Buat aku buntu jalan cerita.
Biarlah.
Bukan sesuatu yang meriah.
Biarkan cerita itu terdiam.
Cerita aku yang masih terus berjalan.

Selagi belum sampai penamat nyawa,
Cerita aku terus berjalan.

Cerita sedih.
Menunggu cerita bahagia
Mana mungkin sama dengan cerita yang ku karang.

Jumaat, 3 Februari 2012

Pernah kau rasa?

Bila kau terbang tinggi,
Bila saat itu kau rasa percaya,
Bila ketika itu hati kau ketawa,
Dan;
Kau jatuh.
Di tolak.
Di tolak oleh sesuatu yang selama ini kau pegang.
Terus kau jatuh; Terjunam
Hancur.
Hancur!
Sakit!

Pernah kau rasa?

Sakit. Yang memang kau tak akan boleh lupa.
Sakit. Sampai suara hati kau menyumpah.
Sakit. Sampai kering air mata.
Sakit. Sampai kau rasa apa itu sakit.

Pernah kau rasa?

Tidak.
Kau bongkak.
Kau tak pernah rasa. Sampai bila-bila kau tak pernah rasa.
Tapi aku tahu,
Satu hari nanti.
Kau pasti akan rasa.

Bila sampai waktu itu, bertemu kau dengan karma.
Meronta kau penuh kesal, penuh seksa.

Hanya Tuhan yang mampu jadi pengubat.
Pengubat seluruh hitam dalam hati.
Pengubat diri kau sendiri.

Tapi sakit ini kau tak rasa.
Dan satu hari nanti, baru kau tahu semuanya.

Jumaat, 13 Januari 2012

Risau

Mula risau bila rasa tak kena
Mahu itu ini,
Risau andai itu satu luar biasa.

Salahkah hati bila menginginkan?

Ingin sesuatu tapi masih duduk diam
Mimpi pun tak kan singgah walau sepetang;

Bangun. Gerak. Dan jalan;

Sekarang bukan masa melopong
Tercengang bisu,
Macam otak kosong,

Sudah.
Bukan risau yang patut kau risaukan.

Persepsi bayang sendiri,
Itu yang patut kau lawankan.

Khamis, 8 Disember 2011

Transit kata

Selamat kembali ke sini;

Seperti lama aku tinggalkan,
Tak singgah duduk untuk menjenguk,
Terbiar diam dan terus begitu,

Mungkin padatan masa menyekat aku untuk singgah,
Lalu lalang sana sini, langsung lupa halaman sendiri,
Kasihan,
Biarpun tidak ada mata menjengah,
Aku tetap kasihan kan tempat ini.

Ada muncul suara,
Konon nya aku berpuisi kerana orang berpuisi juga,
Kau siapa?
dan aku siapa?

Biar.
Selagi aku dengan hidup aku,
Biar ini jadi transit kata jiwa

Aku bersuara bila masa mahukan,
Aku tinggal bila rasa terkekang,
Aliterasi kadang muncul kadang diam,
Sampai suatu masa, ia akan hilang.

Selasa, 18 Oktober 2011

Tolong, Selamatkan aku

Dari awal mata bertentang mata,
Turun ke hati jadi perasaan cinta,
Konon berjanji sehidup semati jiwa dan raga semua kau boleh miliki,
Serahkan segala,
Diri sendiri empunya jadi serahan cinta,
Hanyut tenggelam terbuai indah bila kau dan dia saling berbunga-bunga
Ayat puitis jadi manifestasi
Konotasi bertimbun berhujan koleksi puisi
Kau perlu dia, dia pun kata begitu
Tapi hakikat semua bunga-bunga jiwa di dalangi nafsu
Umur belum matang tapi cinta jadi agungan
Cinta kamu, sayang kamu semua jadi taruhan
Si dia dan dia bila sudah bersatu hati, bersatu segalanya bertemu di tempat yang dijanji
"Dunia milik kita, kamu jangan risau"
Itu hanya satu wacana yang dicipta untuk menjadi proksi
Tapi yang nyata si dia dan dia buta segalanya.

Tolong, Selamatkan aku

Andai bisa kita dengar suara itu, mungkin dunia tak akan cipta kezaliman
Tiada tubuh kecil yang terlihat kaku bergelimpangan
Bunga-bunga cinta dulu kini bertukar jadi perang
Perang sana sini tapi bukan perang dengan lawan
Dulu wujud satu ikatan hati tapi kini semua bertukar jadi benci
Si dia begini, sudah mula kembang
Si dia benci, dari puitis bertukar jadi berang
Masing-masing menggigil mula hilang arah tuju
Hanya nampak batu besar di setiap penjuru
Tiada alibi yang mampu dicari hanya nampak cara pecahkan batu dengan gigi
Oligasi yang ada kini sudah hilang
Semuanya buta terus hilang perasaan.

"Tolong, Selamatkan aku"


Ada yang tikam tanpa dia melihat,
Ada yang campak, buang sana sini dalam hati mereka penuh cacat
Aturan sendiri yang membekukan segala kasih sayang di hati
Tubuh kecil jadi mangsa manusia jiwa hitam penuh benci
Berani buat tapi masing-masing takut mahu tanggung
Dalam erti tuntas kau biarkan hati kau terlopong
Terus terpesong, jiwa kosong masih sesat dalam dunia penuh jalan
Tiada lagi cinta bila nyawa kecil wujud tanpa ada kerelaan
Yang tinggal hanya cara untuk kau melenyapkan.

"Tolong, Selamatkan aku"

Cuba dengar suara ini, cuba hayati dalam hati bawa terus ke sanubari
Bayangkan tubuh kecil ini berlari-lari di bawah pelangi
Hilai tawa mereka berhak untuk kedengaran
Tapi hakikatnya kau yang tidak membenarkan
Cuba sekali lagi kau pejam mata,
Terkedek-kedek mereka penuh dengan ketawa,
"Aku ingin gembira, aku ingin bahagia"
Biar kita tidak dengar tapi itu yang mereka kata.



"Tolong, Selamatkan aku"

Isnin, 10 Oktober 2011

Pengisian tentang tadi

Syukur, masih normal.
Masih seperti hari hari yang lain
Masih seperti mereka yang lain.

Punya waktu untuk di isi,
Punya nafas untuk dihembus,
Udara masih ada,
Jantung masih berdegup.


Panca indera lima deria masih setia bersama diri,
Otak tetap mampu berfikir,
dan hati masih terus mampu merasa,
Tiada kata lain, hanya syukur.
Kerana satu kesempurnaan ini.

Biarpun jalan cerita berbeza,
Tak sama antara si dia dan dia
Biar persepsi tak selari
Ruang dunia tetap perlu di kongsi.

Betapa cukup penciptaan ini,
Cantik semuanya.
Alhamdulillah.

Selasa, 13 September 2011

Celik dan sedar

Jangan kerana kita celik itu tanda kita sedar;
Ada yang celik tapi masih dalam lena;
Tidur dengan mata terbuka;
Masih tak jumpa, masih tak nampak apa;
Sekadar mata yang mencelik,
Belum tentu diri sedar.


Sedar akan hakikat.
Sedar akan nikmat.
Sedar akan diri;
Dan sedar dari halusinasi.

Semua orang dengar,
Semua orang nampak;
Semua seperti remeh; tapi hakikat?
Tak semudah seperti yang kita kata.

Selasa, 6 September 2011

Tak kan mampu

Aku cuba;
Untuk diamkan semua rasa dan permintaan hati
Aku simpan;
Tapi aku suarakan tanpa ada bunyi
Kerana aku tak mampu;
Untuk aku terus kelu.

Aku ingin;
Jadi sesuatu yang belum pernah kau ada
Tapi aku tahu;
Aku tak kan mampu

Aku biarkan;
Untuk rasa seperti ini pergi,
Walau aku tahu aku tak kan mampu biarkan

Kerana aku tetap sebagai gadis yang biasa;
Hati aku ingin sesuatu
Yang tak kan mampu untuk aku terus bisu.

Isnin, 5 September 2011

Jangan Berhenti

Dalam diam, aku renung;
Setiap satu persatu, buat aku senyum
Dari mula aku sedar ia ada,
Hingga kini, aku masih ada,
Terus mampu buat aku untuk senyum,
Untuk bahagia.

Biarpun, banyak tangisan aku hujankan,
Aku masih mahu ia ada.

Tolong jangan berhenti,
Cinta tolong jangan berhenti.

Teruskan bersama aku.
Temani aku sampai aku pejam selamanya.

Cinta tolong jangan berhenti.
Jangan pergi.

Khamis, 18 Ogos 2011

Seperti ada sesuatu

Yang bersarang dalam kelopak jiwa;
Yang membenarkan butir-butir air titis dari mata;
Sampai aku diam bisu dalam pening.

Yang memaksa untuk terfikir,
Yang terus duduk dalam kotak hati pemikir
Sampai aku longlai dalam runsing.

Segumpal perasaan hanya minta satu,
Pergi segala sesuatu itu.
Biarkan objek hidup ini terus senyum melihat semuanya.



Sabtu, 13 Ogos 2011

Hanya Sekadar diam

Sesuatu yang aku rindu
Sesuatu yang sukar untuk ceritakan,
Aku Rindu,
Tapi aku hanya diam,
Seperti tiada apa,
Aku hanya sekadar tunggu.

Entah.
Diri hanya mampu diam.
Segumpal hati meminta,
Tapi kadang masih sama.
Mana hatimu wahai diri?
Kuatkan imanmu, wahai diri.

Kadang, dunia seperti membawa aku,
Dan sekali lagi diri hanya mampu diam.
Sungguh aku lemah.
Sungguh aku gagal.
Kerana diri hanya sekadar diam.



Khamis, 11 Ogos 2011

Ayat Pendek

Hanya sekadar singgahan.
Menerjah ruang sendiri;
Untuk dilempar segala ekspresi sunyi
Tak perlu disusun berjuta abjad,
Asal hati tahu segala sesuatu;
Yang amat aku perlu.
Ia hanya Dari-Mu,
Ya Tuhan.

Selasa, 9 Ogos 2011

Perasaan Rindu

Aku rindu,
Sesuatu yang aku belum rasa sepenuhnya,
Tuhan, berikan aku rasa kasih itu,
Hentikan agitasi dalam diri ini Ya Tuhan,
Aku rindu cahayaMu,
Tapi aku tidak mampu mengatur langkah ke situ,

Kerana aku tersandung, lumpuh di sini
Terhenti tanpa oligasi

Tolong,
Temukan aku dengan kerinduan itu.

Ahad, 7 Ogos 2011

Mampu

Adakah akan ada kemampuan itu?
Untuk terus dan terus bernyawa dan menghadapi segala yang nanti tiba?
Jangan bicara tentang kemampuan,
Kerana ia tetap akan berlaku biarpun tidak mampu.
Tak usah murung merenung perkara yang belum tiba,
Terima segalanya,
Pedulikan kata mampu atau tidak.
Kerana ia pasti akan hadir juga.


Usah persoalkan tentang kemampuan,
bila bicara tentang masa depan.
Kerana itu;
Sesuatu yang belum diketahui,
Namun pasti satu hari akan tahu juga.